Sunday, January 5, 2014

Pantai Batu Buruk - Sikap dan Tabiat Pengunjung

Pantai Batu Buruk adalah antara pantai yang popular di Kuala Terengganu. Saban waktu, ianya menjadi lokasi kunjungan tak kiralah oleh penduduk Kuala Terengganu sendiri ataupun pelawat dari luar.

Antara yang ada di Pantai Batu Buruk adalah aktiviti bermain layang-layang, menaiki kereta kuda, menikmati keropok lekor, ikan celup tepung, sate ikan dan lain-lain makanan ringan, ataupun paling kurang, bersantai menikmati angin dari Laut Cina Selatan.

Apa yang ingin diketengahkan adalah sifat tidak bertanggunjawab pengunjung ke pantai ini yang menbuang sampah merata-rata. Di setiap lokasi sepanjang pantai ini, baik dari kawasan berhampiran Hotel Primula, sehinggalah ke lokasi berhampiran Batu Buruk Beach Resort, kelihatan sampah-sampah terutama beg plastik, cawan plastik, pembungkus makanan yang ditinggalkan setelah mereka makan di bangku-bangku atau di mana saja di sepanjang pantai ini.

Apa yang lagi dikesalkan adalah jarak antara tempat mereka makan dan tong sampah yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan amatlah dekat, namun entah mengapa, terlalu sukar untuk mereka bangun dan buang sampah ke dalam tong yang disediakan.

Lihat di dalam gambar, tong biru adalah tong sampah yang disediakan. 

Keadaan menjadi lebih teruk setiap kali bulan Ramadhan dimana terdapat bazaar iftar dibuka di kawasan parking hadapan Kompleks Akuatik. Pengunjung membeli juadah di bazaar dan seterusnya berbuka puasa di bangku-bangku yang disediakan. Selepas selesai berbuka, mereka terus bergerak dari situ dan membiarkan sisa-sisa makanan, pembungkus dan sebagainya ditinggalkan di atas bangku-bangku tersebut tanpa rasa bersalah. Inikah mentaliti yang perlu kita agungkan ? Sampai bila kita akan seperti ini ?